:
SEJARAH%20PERNUBUHAN



Cetusan untuk menubuhkan pusat prasekolah Islam telah bermula sejak akhir tahun 1970-an. Perkembangan pendidikan yang semakin pesat dan pertumbuhan pusat-pusat pendidikan prasekolah yang semakin meningkat telah menyemarakkan lagi semangat para pejuang dan pencinta Islam untuk memberikan suatu alternatif kepada sistem pendidikan yang sedia berjalan. Hasil daripada itu timbullah idea untuk menubuhkan pusat pendidikan prasekolah Islam yang pada peringkat awalnya diberi nama Tadika Islam. Antara negeri yang awal melaksanakan program ini ialah Kedah dan Terengganu. Seawal tahun 1980, lahir pusat-pusat pendidikan prasekolah Islam yang diberi nama Taman Asuhan Kanak-kanak Islam (TASKI).


Pada tahun 1985, TASKI telah dikendalikan oleh Dewan Pemuda PAS di Terengganu. Di Kelantan pula, pusat pendidikan prasekolah yang dikenali sebagai Putra Islam telah dikendalikan oleh Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan sejak tahun 1988. Di Kedah dan beberapa negeri lain, khususnya di sebelah utara telah wujud prasekolah yang diberi nama Pusat Asuhan Tunas Islam yang dikendalikan oleh Dewan Pemuda PAS Negeri masing-masing hasil daripada penyelarasan semula semua TASKI yang dimiliki oleh ahli-ahli PAS pada tahun 1987.

Tanggal 10 April 1987, Dewan Pemuda PAS Pusat melalui muktamar Tahunan ke-28 telah meluluskan usul pendidikan yang mendesak diwujudkan program pendidikan untuk anak-anak ahli PAS. Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Dewan Pemuda PAS Pusat yang bersidang pada 6 Mei 1988 telah memutuskan penggunaan nama PASTI untuk semua institusi prasekolah milik ahli PAS dan sebuah jabatan yang dikenali sebagai Jabatan Pendidikan Prasekolah dibentuk yang dipengerusikan oleh Ustaz Abu Bakar Abdullah.

Pada 29-30 Mei 1988 telah berlangsung Seminar Prasekolah di Masjid Rusila Marang Terengganu yang dianjurkan oleh Dewan Pemuda PAS Malaysia. Pada tahun 1989, pengurusan PASTI telah diletakkan di bawah Lajnah Tarbiyah dan Kepengarahan Dewan Pemuda PAS Malaysia yang dipengerusikan sendiri oleh Ustaz Abu Bakar Chik dengan Ustaz Abu Bakar Abdullah sebagai Ketua Pengarah PASTI Pusat yang pertama.

Pada 21 Julai 1991, Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Dewan Pemuda PAS Malaysia telah mengarahkan semua PASTI menggunakan logo rasmi PASTI dalam semua urusan PASTI. Logo ini telah direka oleh Raja Abdul Aziz Raja Ailan yang memenangi pertandingan Mencipta Logo PASTI yang dianjurkan oeh Dewan Pemuda PAS Malaysia.


PASTI terus berkembang seiring dengan perkembangan zaman dan kemajuan dunia hari ni. Kelas-kelas PASTI di semua negeri terus bertambah dari sehari ke sehari. Kini, tadika PASTI telah diiktiraf oleh pelbagai pihak dan dianggap prasekolah berteraskan Islam yang terbaik di Malaysia.